Pagi ini menyaksikan Majlis Pelepasan Peserta Malaysia-China Youth TVET Training 2023 di Gemilang Motor Academy, Seremban, Negeri Sembilan.

Saya berbangga dengan pencapaian 20 anak muda yang berkemahiran dalam bidang teknologi automatif dari Gemilang Motor Academy. Mereka telah dipilih sebagai kumpulan pertama untuk mendalami pengetahuan berkaitan bidang teknologi kenderaan elektrik atau Electric Vehicle (EV) di negara China.

Kelompok belia ini telah membuktikan kesediaan untuk menyahut cabaran baharu di luar negara demi mengisi kemahiran berpaksikan teknologi terkini dan melengkapkan diri dengan pengetahuan penting yang dapat digunakan untuk kemajuan industri automotif negara.

Usaha ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jaya tanpa penglibatan aktif Projek Belia Mahir yang sentiasa memberikan sokongan berterusan untuk golongan belia di negara ini mencipta pencapaian membanggakan. Malah kemampuan Projek Belia Mahir menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan dari negara China, Tang International Education, telah membolehkan semua anak muda ini mengikuti latihan di Tangshan Polytechnic College.

Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada faedah langsung yang dapat dinikmati hasil daripada hubungan erat Malaysia dan negara China. Malah, 20 anak muda ini boleh dianggap sebagai duta kecil yang bukan sahaja menyerap pengetahuan, namun berkeupayaan untuk berkongsi nilai dan kebudayaan negara kita.

Kita memahami bahawa dunia anak muda pasca pandemik Covid-19 merupakan perjalanan sukar yang mendedahkan pelbagai kerumitan dan kesukaran, khususnya ketika berdepan kemelut kos sara hidup yang kian meningkat. Sehubungan itu, salah satu cara terpenting untuk memastikan anak muda dapat keluar daripada belenggu kebimbangan seperti ini adalah dengan melengkapkan mereka dengan aspek kemahiran dalam lingkungan bidang TVET.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberikan dukungan penuh terhadap sebarang inisiatif yang dapat memperkasa belia di negara ini, khususnya untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran yang akhirnya memberi manfaat kepada diri dan negara. Melalui 22 Institusi Latihan Kemahiran KBS, selain daripada menyediakan kursus sepenuh masa, Kementerian turut menawarkan peluang pembelajaran kemahiran secara modular menerusi kursus jangka pendek khusus kepada golongan belia yang berada dalam kategori NEET (Not in Education, Employment and Training). Hal ini dapat memberi peluang kepada golongan belia terlibat untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri untuk melibatkan diri

Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh akan memberi manfaat kepada perkembangan industri automotif negara.

*Sebarang berita adalah atas tulisan sumber luar, melainkan dinyatakan. 

Post Tags :

Share :