Pagi tadi berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
Kali terakhir mesyuarat ini dilaksanakan adalah pada 2014, 9 tahun yang lalu.
Satu jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) dipengerusikan TPM diwujudkan bagi menerajui Pembangunan Bakat Sukan Berprestasi Tinggi dalam usaha mereformasi sukan negara.
Langkah ini bertujuan untuk mereformasikan sukan negara dan memastikan Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara-negara lain dalam bidang sukan.
HLC akan memberi fokus kepada model pembangunan bakat dalam sukan tempur, olahraga, dan renang menerusi kerjasama KBSMalaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selain itu, HLC juga akan memperhatikan potensi bakat sukan dalam kalangan anggota tentera dan penguatkuasa undang-undang menerusi kerjasama dengan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Tiga kertas pertimbangan dibincangkan termasuk semakan semula keanggotaan, terma rujukan, dan tatakelola JKPS.
Selain itu, prestasi kontinjen negara di Sukan SEA Cambodia 2023 serta cadangan pelaksanaan program penyediaan atlet bagi Sukan SEA 2025 dan Sukan SEA 2027 merentasi kementerian turut dibincangkan, selain cadangan penubuhan Malaysia Sport Integrity (MSI).
Melihat pentingnya penglibatan semua pihak dalam pembangunan sukan, kerajaan telah mempelawa GLC untuk membiayai program-program pembangunan dan penganjuran sukan.
Hal ini untuk memastikan pembangunan sukan dapat berjalan lancar menerusi penglibatan pelbagai pemegang taruh selain hanya kerajaan dan persatuan sukan.
Kerajaan juga berhasrat melipat gandakan langkah preventif dalam usaha mengekalkan tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat dan mengawal kos kesihatan awam; bermula dengan mewajibkan setiap kementerian memperuntukkan waktu untuk kakitangan kerajaan melaksanakan aktiviti sukan dan riadah setiap minggu.
Melalui mesyuarat JKPS, isu-isu berkaitan sukan dibincangkan secara aktif dan berkesan.
Platform ini juga melibatkan semua agensi kerajaan dan NGO untuk memperkasakan pembangunan sukan secara inklusif.
Perancangan dan pelaksanaan inisiatif ini memerlukan kerjasama semua pemegang taruh dalam menjayakan hasrat kerajaan sebagaimana tergaris dalam Dasar Sukan Negara (DSN) dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030).
Mesyuarat peringkat tertinggi seterusnya akan dibuat 7 Jun hadapan untuk melaksanakan keputusan mesyuarat hari ini.

*Sebarang berita adalah atas tulisan sumber luar, melainkan dinyatakan. 

Post Tags :

Share :